Monday, April 20, 2009

BIOGRAFI PENGASAS DAN PAKAR PRIM

BIOGRAFI TUAN GURU DR HJ JAHID BIN HJ SIDEK AL-KHALIDI

Dilahirkan pada 11 Februari, 1940 di Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Darjah Khas Sekolah Agama Kerajaan Johor (1957). Kemudian beliau meneruskan pengajian ke Sekolah Arab Kluang Johor dan Kolej Islam Klang. Pada Tahun 1972 beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya. Seterusnya beliau memperoleh Ijazah Sarjana MA dalam bidang Usul Fekah (1975) dan Ijazah Kedoktoran Ph.D daripada Universiti yang sama (1992) dalam bidang Usuluddin (Tasawwuf).

Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Guru Agama Sekolah antara tahun 1964 – 1969 dan pernah pula dilantik sebagai Guru Penolong Kanan selepas mendapat ijazah pertama. Pada awal tahun 1974 beliau dilantik menjadi Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera & Sains Sosial, Universiti Malaya; dan telah dilantik menjadi Profesor Madya tahun 1992 dan beliau telah bersara pada akhir tahun 1995, sebagai Pensyarah di Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).

Beliau telah bergiat aktif dalam masyarakat sebagai pemimpin Islam setempat dengan usaha membangunkan hal ehwal agama Islam seperti surau, masjid dan sekolah agama. Beliau telah dilantik sebagai Nazir Masjid Nurul Yaqin Kg Melayu Sri Kundang 1988 – 2006 dan Pengerusi Sekolah Rendah Agama 1988. Usaha dan kegigihan beliau dalam pengislahan masyarakat direalisasikan apabila dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) yang telah mengembangkan sayap bergerak di seluruh Malaysia dengan sokongan ahli persatuan yang aktif dalam pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan dan kemasyarakatan.

Dalam bidang Rawatan @ Perubatan Secara Islam beliau telah berpengalaman selama 20 tahun dengan memperkenalkan kaedah rawatan menggunakan Teknik pukulan/tepukan/merotan (menggunakan ranting pokok nona), dzikrullah dan doa kepada pelbagai penyakit yang dialami pesakit. Kesungguhan beliau dalam membantu masyarakat terbukti dengan penubuhan Pusat Rawatan Islam MANARAH di Lorong Beringin, Kuang, Selangor Darul Ehsan. Dengan pengalaman yang diperolehi, beliau juga sebagai tempat rujukan orang ramai kerana ditemui pelbagai lapisan masyarakat bagi nasihat, tunjuk ajar serta bimbingan dalam pelbagai masalah yang dihadapi. Kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang Perubatan Secara Islam telah dimanfaatkan dengan menulis artikel, kertas kerja, dakwah dan membimbing orang ramai melalui media masa, seminar, ceramah dan kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Minatnya tentang tarekat dan tasawwuf yang cukup mendalam hingga mendorongnya untuk mengkaji, mempelajari dan mengamalkan tiga tarekat, iaitu Ahmadiyyah, Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah yang berpengaruh dan mempunyai murid yang ramai. Beliau juga adalah seorang Shaikh dalam Tariqah Naqsyabandiyyah Khalidiyyah yang memimpin amalan Khalwah/Uzlah/bersuluk sehingga sekarang di Madrasah Babul-Khayrat, Jalan Suka, Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru dan di Madrasah Madinatul Ilmi di Jalan Pekan-Kuantan, Kuantan, Pahang, dan memimpin majlis dzikrullah@tawajjuh di beberapa tempat di seluruh Malaysia.

Dengan kefahaman, kepakaran dan pengamalan berhubung hal ehwal tarekat dan tasawwuf, beliau telah diberikan kepercayaan dan diamanahkan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan sebagai Ahli Majlis Tariqah-Tariqah Sufiyah (Jalsah Turuq Sufiyah) di bawah Enakmen Tarekat Tasawwuf Negeri Sembilan pada Mac 2007. Yang antara lainnya bertujuan menasihati, memantau dan mengembalikan kedudukan dan perjalanan Tarekat dan Tasawwuf mengikut Al-Quran dan Sunnah.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ialah Berpawang dan Bersahabat dengan Jin daripada Perspektif Islam, Tokoh-tokoh dan Peristiwa Penting Sejarah Islam, Strategi Menjawab Sejarah Islam, Dhiaul Iman Fi Thariq ar-Rahman (Terjemahan Kitab), Shaikh dalam Ilmu Tariqah, Kedudukan Qiyas Dalam Perundangan Islam, Membentuk Jiwa Sufi dan lain-lain. Beliau telah membentangkan lebih 50 kertas kerja untuk pelbagai seminar di peringkat antarabangsa, kebangsaan dan lain-lain, mengarang artikel ilmiah bagi ruangan akhbar “Perubatan Alternatif” dan lain-lain majalah.

Beliau sering diundang ke majlis-majlis Forum, Ceramah Umum, kuliah Subuh, Maghrib dan Kuliah Tengahari sehingga hampir setiap hari beliau memberikan kuliah/ceramah agama di Pejabat-pejabat kerajaan, swasta, masjid atau surau di seluruh Malaysia.


DI ANTARA TAJUK KERTAS KERJA DALAM BIDANG TASAWWUF

1. Perhimpunan Tarekat-Tarekat Seluruh Dunia, Tajuk: “PERKEMBANGAN TAREKAT NAQSYABANDIAH DI MALAYSIA” (Bahasa Arab), Anjuran: Kerajaan Libya, Tempat: Tripoli,
2. Seminar Perubatan Islam & Pemurnian Tasawwuf, Tajuk: “KEPENTINGAN TASAWWUF DALAM PENINGKATAN ILMU DAN AMAL” Anjuran: Persatuan Pelajar Mahasiswa Pahang Dewan Abbasiah Kaherah, Dengan Kerjasama Yayasan Pahang dan Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah Mesir. Tarikh: Mac 2007
3. Dalam Seminar Tasawwuf 2007, Tajuk: “PENYAKIT-PENYAKIT HATI: PUNCA DAN KAEDAH RAWATANNYA MENURUT PRINSIP TASAWWUF”, Anjuran: Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Tarikh: 22 Disember, 2007.
4. Seminar Tasawwuf Kebangsaan, Tajuk: “DHIKRULLAH: ANTARA SUNNAH DAN BID’AH”, Anjuaran Jabatan Mufti Negeri Sembilan dengan Kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tarikh: 9-10 Ogos, 2003.
5. Seminar Dakwah Tariqah Tasawwuf Antarabangsa, Tajuk: “SALAH FAHAM TERHADAP SHAIKH DAN MURID DALAM TAREKAT TASAWWUF”, Anjuran Bersama: Universiti Kebangsaan Malaysia Dan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, Tarikh: 17 – 19 Ogos 2002.
6. Simposium Peradaban Ilmu Dan Ketamadunan Islam (SPIKE '04). Tajuk: “HUBUNGAN TASAWWUF DENGAN SUNNAH, KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN TOKOH-TOKOH SUFI DALAM PEMBINAAN TAMADUN” , Anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) Dengan Kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) ALUMNI UTM, Masjid Sultan Islam (MSI) Tarikh: 10 – 11hb. Januari, 2004.
7. Seminar Kefahaman Tasawwuf Dan Penghayatannya, Tajuk: “KEDUDUKAN DAN KEPENTINGAN TAREKAT DALAM ISLAM”, Anjuran: Anugerah HRM Consultant Sdn Bhd, Tarikh: 25 Mac, 2005.
8. Seminar Kefahaman Tasawwuf, Tajuk: “KEDUDUKAN TAREKAT DALAM ISLAM”, Anjuran Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Tarikh: 25 Mac, 2006
9. Seminar Tasawwuf, Tajuk: “TAREKAT DAN TASAWWUF: MEHNAH DAN TRIBULASI” Anjuran: Persatuan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak.
10. Seminar Kefahaman Tasawwuf Islam, Tajuk: “KEPIMPINAN TAREKAT/TASAWWUF SATU PENJELASAN” Anjuran: Universiti Putra Malaysia (UPM)
11. Muzakarah Ulama’, Tajuk: “ILHAM, KASYAF DAN ILMU LADUNI MENURUT PANDANGAN AHLI TASAWWUF”, Anjuran: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hotel Marriot Putrajaya.
12. Seminar Kefahaman Islam, Tajuk: “PERANAN MANHAJ SUFIYYAH KE ARAH TAZKIYAH AN-NAFS”, Anjuran: Sekretariat, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM)
13. Seminar Solat, Tajuk: “SEMBAHYANG YANG KHUSYUK”, Anjuran: Masjid al-Falah USJ 9 Subang Jaya
14. Seminar Kepimpinan UM, Tajuk: “KEPENTINGAN AKHLAK ISLAMIAH DALAM KEPIMPINAN ISLAM”, Anjuran: Kolej Kediaman Kelima UM.
15. “AMALAN SULUK/KHALWAT DALAM TASAWWUF”
16. Dan lain-lain.

DI ANTARA TAJUK KERTAS KERJA DALAM BIDANG RAWATAN @ PERUBATAN ISLAM

1. Seminar Perubatan Islam & Pemurnian Tasawwuf, Tajuk: “JIN/SYAITAN: HUBUNGANNYA DENGAN PELBAGAI GANGGUAN KESIHATAN MANUSIA” Anjuran: Persatuan Pelajar Mahasiswa Pahang Dewan Abbasiah Kaherah, Dengan Kerjasama Yayasan Pahang dan Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah Mesir. Tarikh: Mac 2007.
2. Seminar Alam Misteri Dalam Budaya, Tajuk: “MENURUN: KEBENARANNYA MENURUT ISLAM” Anjuran Pejabat Muzium Etnologi Dunia Melayu, Jabatan Muzium & Antikuiti. Tarikh: 4 Julai 2002
3. Seminar Perubatan Tradisional Menurut Islam, Tajuk: “METODOLOGI PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU MENURUT PERSPEKTIF ISLAM” Anjuran: Institut Latihan Dakwah Selangor (ILDAS) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Sg Lang Sabak Bernam.
4. Seminar Mengubati Manusia Dan Alam Dengan Pendekatan Metafizik Islam. Tajuk: “KOMBINASI PUKULAN, DHIKRULLAH DAN DOA SATU KAEDAH PERUBATAN ISLAM YANG PENTING”, Anjuran: Persatuan Kebajikan Saviour Insan Selangor (PERKESAN), Tarikh: 25 Disember 2005
5. Seminar Rawatan Islam, Tajuk: “SAKA: KESAN DAN CARA MERAWATNYA”, Anjuran: IQ Insan Training & Consultancy Dengan Kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Tarikh: 2 Februari 2008
6. Seminar Rawatan Sihir Menggunakan Al-Quran, Tajuk: “SIHIR: CIRI-CIRINYA, KAEDAH RAWATAN DAN AMALAN PENDINDING”, Anjuran IQ Insan Training & Consultancy Dengan Kerjasama Masjid Negara Kuala Lumpur. Tarikh: 5 Januari 2008.
7. 10 Siri Seminar Perubatan Islam, Kaedah TG Dr Hj Jahid Hj Sidek, Pusat Rawatan Islam MANARAH, Anjuran: Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) dengan kerjasama Pelbagai pihak dan agensi. Pengisian adalah berkisar tajuk dan soaljawab berkaitan masalah perubatan Islam.
8. Dan lain-lain.